Kebudayaan Melayu dalam Bahan Sastera ( Nota Ringkas BMM3113 )


Puisi Tradisional
  • Merujuk kepada susunan perkataan dalam bentuk karangan berangkap atau suatu bentuk pengucapan dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan biasa serta bahasa. 
  • Puisi tradisional juga dikenali sebagai puisi lisan yang berkembang dalam kesenian rakyat.
  • Puisi tradisional terbahagi kepada beberapa jenis, antaranya ialah pantun, syair, gurindam dan seloka.
Pantun
  • Karya yang berangkap tetap, iaitu bilangan baris dalam setiap rangkap sudah ditetapkan, sama ada dua, empat, enam, lapan, sepuluh, dua belah atau empat belas baris dalam serangkap.
  • Pantun yang mempunyai dua baris serangkap dikenali sebagai pantun dua kerat, sementara yang mempunyai empat baris serangkap dikenali sebagai pantun empat kerat, dan begitulah seterusnya.
  • Terdiri daripada dua bahagian, iaitu pembayang dan maksud.
Syair
  • Karangan berangkap dan setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
  • Setiap baris merupakan maksud kerana syair tidak mempunyai pembayang seperti pantun.
  • Setiap rangkap syair tidak boleh berdiri sendiri kerana saling berkait dengan rangkap-rangkap lain.
  • Keseluruhan rangkap syair mengungkapkan sesuatu maksud secara kesatuan.
  • Setiap baris dalam syair biasanya mengandungi empat patah kata yang berjumlah antara lapan hingga dua belas suku kata.
  • Rima akhir syair ialah aaaa.
  • Syair selalu membawa isi yang berkaitan dengan kias ibarat, sindiran, nasihat, pengajaran, agama dan cerita yang berunsur sejarah atau dongeng.
Gurindam
  • Karangan berangkap yang terdiri daripada dua baris serangkap.
  • Terdapat gurindam yang lebih bebas dari segi jumlah kata pada setiap rangkap dan rima akhirnya.
  • Rima akhir gurindam ialah aa.
  • Baris pertama dalam gurindam mengandungi soalan, syarat atau perjanjian, sementara baris kedua pula merupakan jawapan, akibat atau kesimpulannya.
  • Isi gurindam berupa nasihat, pengajaran atau kebenaran yang disampaikan dengan bahasa yang lebih padat dan bernas.
Seloka
  • Seloka dirumuskan sebagai gurau senda yang mengungkapkan sindiran yang ditulis dalam bahasa puisi.
  • Setiap rangkap seloka selalunya terdiri daripada empat baris.
  • Terdapat seloka yang berbentuk bebas yang mengandungi kurang atau lebih daripada empat baris serangkap.
  • Jumlah kata pada setiap baris tidak tetap dan rima hujungnya bebas.
  • Isi seloka mengandungi unsur pengajaran dan nasihat yang disampaikan dalam nada mengejek atau menyindir.  
 Teromba
  • Teromba dikenali dengan nama-nama seperti terasul, tambo, dan salasilah.
  • Teromba mengungkapkan gagasan pemikiran yang tinggi berkenaan peraturan, nilai, adat, dan hukum-hukum hidup bermasyarakat.
  •  Dari segi bentuk, teromba berbentuk bebas. Jumlah baris dalam setiap rangkapnya tidak tetap, manakala rima akhir setiap baris pula tidak sama.
  • Di dalam sebuah teromba disisipkan dengan beberapa jenis puisi tradisional lain, seperti pantun, gurindam, dan peribahasa.
Talibun
  • Talibun menurut Kamus Dewan (2005) ialah sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris, enam baris, atau dua puluh baris yang bersajak di hujungnya.
  • Talibun mengungkap persoalan yang berbagai. Lazimnya, isi talibun berkisar kepada pelbagai perkara dan objek seperti senjata, pakaian, kenderaan, negeri, perlakuan manusia, fenomena alam, perasaan dan tradisi yang terdapat dalam sesebuah cerita lipur lara.
Mantera
  • Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana pengucapan dalam bentuk mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat puitis.
  • Mantera digolongkan puisi Melayu tradisional berbentuk bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap, manakala rima askihrnya pula tidak tetap
  • Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nada, irama, dan tekanan suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.
Puisi Moden
  • Puisi moden mempunyai bentuk, susunan baris, rangkap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional.
  • Dari segi isinya, mengungkapkan pelbagai maksud dan persoalan yang disampaikan oleh penulis.
  • Penghasilan puisi moden memperlihatkan pembaharuan atau pemodenan pada bentuk dan isinya yang boleh dilihat dalam karya sajak.
Sajak
  • Sajak ialah karangan berangkap yang lebih bebas bentuknya dan tidak terikat pada sesuatu pola khusus, walaupun kadang-kadang bentuknya seakan-akan gurindam atau seloka.
  • Penyajak masih menitikberatkan aspek rima, rentak, penyusunan baris dan rangkap atau bait.
  • Jumlah rangkap dalam sesuatu sajak tidak dihadkan, sebaliknya mengikut isi yang hendak disampaikan.
Prosa Tradisional
  • Prosa boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk karangan yang panjang.
  • Prosa tidak terbatas kepada cerita (naratif) sahaja tetapi termasuk juga karya-karya yang bukan cerita (bukan naratif/non-naratif).
  •  Oleh itu, karya-karya kesusasteraan Melayu yang panjang sama ada lisan atau tulisan dikelompokkan sebagai prosa.
  • Prosa tradisional dalam kesusasteraan Melayu boleh dibahagikan kepada  beberapa jenis iaitu :
  1. Mitos
  2. Legenda
  3. Cerita rakyat
Mitos
  • Mitos adalah cerita prosa rakyat yang menceritakan kisah masa lampau, mengandung penafsiran tentang alam semesta dan keberadaan makhluk di dalamnya, serta dianggap benar-benar terjadi oleh yang empunya cerita atau penganutnya.
  • Mitos menceritakan terjadinya alam semesta, dunia dan para makhluk penghuninya.
  • Mitos dapat timbul sebagai catatan peristiwa sejarah yang terlalu dilebih-lebihkan atau sebagai suatu penjelasan tentang ritual.
Lagenda
  • Legenda adalah cerita prosa rakyat yang dianggap oleh yang mempunyai cerita sebagai sesuatu yang benar-benar terjadi.
  • Lagenda telah mengalami tokok tambah sehingga sering kali jauh berbeza dengan kisah aslinya.
  • Oleh itu, jika legenda hendak dipergunakan sebagai bahan untuk sejarah, maka legenda harus dibersihkan terlebih dahulu bahagian-bahagian yang mengandungi sifat-sifat karut.


0 comment... add one now