Tataistilah atau ‘terminology’ adalah merupakan kumpulan istilah bagi satu-satu bidang tertentu yang dibentuk menurut peraturan-peraturan yang ada. Misalnya, tataistilah matematik yang ada yang telah dibentuk berdasarkan sistem tertentu. Manakala tatanama ialah kumpulan peraturan untuk menentukan nama dalam bidang ilmu termasuklah kumpulan nama yang dihasilkannya.
Terdapat perbezaan kata biasa dengan kata istilah. Kata biasa atau kata umum ialah kata-kata biasa di dalam bahasa. Namun demikian, kata umum boleh menjadi istilah. Kata istilah ialah kata yang penggunaannya dan maknanya khusus pada bidang tertentu. Contohnya, kata hidrogren, nitrogen, neonatal, fonem, alofon, alormof dan morfem merupakan istilah khusus dalam bidang masing-masing.
Sementara itu, Fishman (1972) memberikan takrifan istilah ini sebagai “usaha yang tersusun bagi menyelesaikan masalah-masalah bahasa terutama pada peringkat kebangsaan”. Dalam hal ini apa yang dimaksudkan oleh beliau ialah peristilahan merupakan satu proses mengatasi masalah-masalah dalam sesuatu bahasa seperti ketiadaan makna untuk saling terjemah dan ketiadaan konsep untuk sesuatu perkara yang baharu. Valter Tauli (1974) pula mendefinisikan istilah ini sebagai kegiatan mengawal atur yang berkaedah dan membaiki bahasa-bahasa yang baru dan sepunya di peringkat daerah, negara atau antarabangsa. Melalui definisi ini Tauli menekankan aspek pengawalan teratur dan mempunyai tata cara untuk dilakukan.