Teknik SQ3R ( Kaedah Membaca )



Teknik pengajaran merupakan perintis untuk memastikan pelajar dapat menguasai kemahiran membaca. Antara teknik tersebut ialah teknik SQ3R. SQ3R ialah teknik membaca kritis yang memerlukan seseorang mempersoalkan kesesuaian maklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan.

SQ3R adalah singkatan bagi:-
  •      S (survey)    -    Tinjau.
  •      Q (question)    -    Soal atau tanya.
  •      R (read)    -    Baca.
  •      R (recite)     -    Imbas kembali atau menyatakan secara lisan.
  •      R (review)    -    Baca semula.
Survey atau tinjau merujuk kepada langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa-apa yang terkandung dalam bahan yang dibaca. Tinjau ini dilakukan dengan meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bahagian-bahagian buku atau teks. Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan scanning.

Question atau soal merupakan langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasannya. Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan pembaca untuk mendapatkan maklumat yang ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan tersebut.

Read  atau baca merujuk kepada peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada soalan-soalan yang telah disenaraikannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginannya sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoalkan pendapat atau maklumat yang dapat yang ditemuinya.

Recite atau imbas kembali ialah peringkat yang ketiga. Setelah selesai membaca, para pelajar akan cuba mengingat kembali apa-apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasannya. Pelajar juga boleh mencuba untuk menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada nota atau bahan yang telah dibaca.

Review atau baca semula merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawapan-jawapan kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga akan memastikan tiada fakta penting yang tertinggal
.
Semoga bermanfaat

0 comment... add one now