Prinsip Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Dalam Kelas




Wajib tahu jika anda bergelar seorang guru ,
Prinsip penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) ini terbahagi kepada tiga iaitu:-

Pelbagai Alat Bantu Mengajar.

Mengikut Dale dan ‘cone of experience’nya, beliau telah mengesyorkan pelbagai kegiatan atau pengalaman yang sesuai untuk membantu murid-murid belajar mengikut peringkat-peringkat tertentu daripada pengalaman langsung kepada pengalaman yang abstrak.

Prinsip umum pembelajaran yang paling berkesan ialah pembelajaran yang berdasarkan kepada pengalaman langsung, kemudian diikuti dengan pengalaman rekaan dan pengalaman ‘dramatized’, seterusnya diikuti pula dengan demonstrasi dan pameran dan akhir sekali diikuti dengan gambar-gambar dan rakaman-rakaman. Selepas itu pembelajaran boleh dicapai melalui filem-filem dan pada tahap yang paling tinggi pembelajaran berlaku dengan menggunakan lambang bahasa.

Mutu Alat Bantu Mengajar.

Mutu alatan mengajar bergantung kepada pembinaan dan pemilihannya sebagai bahan pengajaran. Bahan ini seharusnya dipilih sesuai dengan bahan-bahan yang hendak diajari serta sesuai dengan tahap umur murid-murid yang terlibat. Pembinaannya perlu dibuat berdasarkan lunas-lunas pembinaannya seperti kejelasan bunyi iaitu sebutan, kesesuaian intonasi dan nada dalam rakaman, keharmonian warna seperti gambar, kesesuaian saiz dan bentuk huruf dengan merujuk kepada carta.

Alat ini juga harus diperbuat daripada bahan-bahan yang murah atau boleh didapati secara percuma daripada setengah-setengah jabatan kerajaan, agensi kerajaaan, pejabat pos dan daripada pihak swasta.

Kecekapan Menggunakan Alat Bantu Mengajar.

Kecekapan seorang guru dalam menggunakan alat bantu mengajar adalah setanding dengan kepentingan mutu alat itu. Penyalahgunaan alat bantu mengajar bukan sahaja menyebabkan pengajaran menjadi tidak berkesan, tetapi kadangkala boleh merosakkan pelajaran itu seluruhnya. Sewaktu menggunakan papan hitam, seseorang guru  perlu menulis butir-butir di atasnya dengan jelas, terang dan boleh dilihat oleh semua murid. Guru-guru juga mestilah ‘selective’ dan menentukan butir-butir penting sahaja untuk dituliskan diatasnya. 

Semasa menggunakan buku teks pula, guru-guru diingatkan supaya tidak mengajar isi kandungan buku teks secara campur aduk. Situasi ini boleh menimbulkan kekeliruan pada diri pelajar. Guru-guru mestilah pandai menyesuaikan isi buku teks dengan keperluan murid-murid dan menepati masa yang telah diperuntukkan. Penggunaan buku teks yang cekap dan terancang akan menghasilkan pembelajaran yang lebih berkesan.

0 comment... add one now