Kemahiran Mendengar ( Nota Ringkas )


Konsep Mendengar

Kemahiran mendengar ialah keupayaan murid mendengar dengan teliti, memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi serta dapat memberi maklum balas. Tanpa kemahiran mendengar yang baik, sukar bagi murid menguasai kemahiran berbahasa yang lain. Kemahiran mendengar melibatkan kemahiran menerima maklumat secara lisan.Kemahiran mendengar merupakan kemahiran utama dan pertama yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak sebelum ia boleh mengujarkan perkataan atau bunyi awal tertentu dalam proses belajar berkomunikasi atau bercakap.

Tentu sekali sebelum kanakkanak ini boleh berkomunikasi atau bercakap, ia telah terlebih dahulu terdedah kepada berbagai-bagai bunyi bahasa dan bukan bahasa. Sebenarnya, kanak-kanak sentiasa berkomunikasi dengan alam sekelilingnya, mengusai bahasa memperoleh dan mempelajari, mengajuk dan meniru daripada apa yang didengar dan dialaminya daripada orang-orang yang berada di sekelilingnya.

Mereka meniru, mengajuk, mencuba dan mengungkapkan perkataan tertentu secara berulang kali sebelum sesuatu perkataan itu tekal dalam ingatan dan dapat digunakan dalam konteks maknanya yang sebenar. Justeru, alam persekitaran merupakan model penting pembelajaran bahasa dalam kalangan kanak-kanak ini. Ini bermakna, kanak-kanak yang hidup dalam kerangka model alam persekitaran yang baik, cenderung untuk menguasai kemahiran berbahasa: bertutur dan mendengar yang baik mengikut standard tertentu.

Kemahiran mendengar merupakan kemahiran menerima menaakul dan memproses maklumat dalam komunikasi secara lisan. Di sekolah, murid-murid perlu mendengar untuk menerima dan memahami idea yang disampaikan dalam perbualan, perbincangan, dialog, mesyuarat dan penjelasan dalam proses pengajaran guru. Manakala dalam kehidupan harian pula, aktiviti mendengar sentiasa wujud dalam interaksi sosial (perbualan, perbincangan dan mesyuarat); untuk mendapat hiburan (radio, televisyen, filem), memperoleh maklumat (pengajaran guru, berita di radio dan televisyen) serta pernyataan perasaan dan apresiasi seni (drama, lakonan, dialog dan kesusasteraan).

Umumnya, komunikasi lisan melibatkan dua proses, iaitu penghasilan dan penerimaan mesej. Proses pertama terlaksana melalui pertuturan sementara proses yang kedua berlaku melalui pendengaran. Terdapat pernyataan bahawa dalam pengajaran bahasa, aspek pendengaran amat kurang diberi perhatian oleh guru. Proses mendengar biasanya berlaku secara berperingkat. Empat peringkat proses mendengar iaitu mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa,  memahami bunyi-bunyi bahasa tersebut,  menilai bunyi-bunyi yang diperdengarkan dan bertindak balas terhadap bunyi-bunyi tersebut.

Dalam erti kata lain ketika mendengar, seseorang itu akan membuat tanggapan terhadap gabungan bunyi-bunyi bahasa yang didengarinya itu. Kemudian pendengar itu akan menghubungkan bunyi-bunyi bahasa itu dengan makna berasaskan pengetahuan dan pengalamannya. Proses menanggap bunyi dan mentafsir makna sesuatu sebutan berlaku secara serentak berdasarkan pengalaman dan pengetahuan pendengar berkenaan.

Justeru sebenarnya, kemahiran mendengar merupakan kemahiran yang paling asas dalam kemahiran lisan dan ini berlaku pada peringkat penerimaan. Seseorang kanak-kanak @ murid yang telah menguasai kemahiran mendengar, dia seharusnya dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain kepadanya dan boleh pula memahami @ maksud; boleh mentafsir apa sahaja yang didengarnya itu dengan tepat.

Sehubungan dengannya, untuk memungkinkan seseorang murid itu fasih berkomunikasi dalam bahasa yang dipelajarinya, kemahiran mendengar ini tidak sahaja perlu diajar, bahkan perlu dikuasai sebaik-baiknya di peringkat awal pengajaran bahasa sebelum kemahiran-kemahiran lain diajar kepada mereka. Dalam usaha merealisasikan hasrat ini, aspek-aspek pendengaran itu boleh dikonsepsikan dengan pelbagai cara, antara lain ialah gabungan bunyi-bunyi bahasa yang didengar, difahami dan diingat, proses yang berlaku dipengaruhi aspek fizikal, psikologi, dan neurologi, berlaku melalui latihan-latihan khas secara berperingkat-peringkat; dan berpusatkan idea utama, hujah, bukti dan estetika.

Objektif Mendengar

Melalui kemahiran mendengar, seseorang itu boleh memperoleh idea., mencari isi-isi penting, melakukan arahan/ tindak balas; dan  mengenal pasti perkara yang berhubungan dan tidak berhubungan. Selain itu, seseorang itu juga dapat mengenal pasti isi-isi yang tersirat, mentafsir makna-makna yang tersirat serta mengenal pasti ‘mood’ penutur, suasana, dan keadaan/ konteks, danmengesan ‘pengaruh’ penutur sama ada menggunakan logik atau propaganda, iaitu seperti memberi yang baik sahaja, menggunakan nama orang-orang terkemuka atau mengulang sebut apa yang diperkatakan.

0 comment... add one now