Pengurusan Aktiviti Dalam Bilik Darjah


PENGENALAN

Di dalam bilik darjah, selain mengajar, guru juga memainkan peranannya sebagai pengurus. Tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid- murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif, mengurus bahan- bahan pengajaran dan sebagainya. Kecekapan guru dalam menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan sosioemosi yang selesa, disiplin kelas yanag baik dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Pelbagai kekangan dan permasalahan yang akan wujud dalam bilik darjah. Oleh itu keperluan dan kesedaran tentang pentingnya pengurusan bilik darjah perlu ada dan ditanam di dalam dada semua insan yang bergelar pendidik.

DEFINISI PENGURUSAN

Istilah pengurusan mempunyai berbagia-bagai takrif. Seperti bidang-bidang pengajian dan pendidikan yang melibatkan manusia, istilah pengurusan sukar untuk ditakrifkan bagi membolehkan ia diterima secara umum. Mary Parker Follett, seorang pelopor pengurusan klasik mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui sumbangan orang lain. 

Takrif pengurusan yang diberi oleh Follett ini banyak didapati dalam buku pengurusan moden. Harold Koontz pula mentakrifkan pengurusan sebagai satu seni melakukan kerja melalui dan bersama orang lain di dalam suatu kumpulan yang sengaja diadakan. Takrif pengurusan seperti ini memberitahu kepada kita bahawa pengurusan biasanya mencapai objektif dengan cara memberikan penugasan kerja kepada orang lain supaya kerja- kerja dapat dilaksanakan bagi mencapai objektif tersebut. Pengurusan secara fitrahnya melibatkan perhubungan pengurus dengan pekerja bawahannya atau subordinat. Dalam hal ini, Stoner mentakrifkan pengurusan ialah satu proses perancangan, pengelolaan, pengarahan dan kawalan terhadap usaha- usaha ahli organisasi dan penggunaan sumber- sumber organisasi yang lain dalam usaha untuk mendapatkan matlamat yang telah ditetapkan.

Menurut perspektif Islam, pengurusan ditakrifkan sebagai satu proses melakukan kerja dan menyempurnakan kerja melalui fungsi- fungsi pengurusan secara fitrah melalui dan bersama orang lain dalam usaha mencapai objektif kerja secara berkesan dan menggunakan sumber- sumber organisasi dengan cekap dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah- ubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai al- falah di dunia dan di akhirat.  Pengurusan juga boleh ditakrifkan sebagai satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama dan campurtangan ahli untuk mencapai objektif- objektif organisasi atau kumpulan, gerak kerjanya termasuk merancang mengelola, memimpin, mengarah dan mengawal.

DEFINISI BILIK DARJAH

Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran merupakan tempat yang terpenting yang perlu ada pada sekolah. Ia juga merupakan medan perjuangan utama kerjaya seseorang guru. Secara amnya, bilik darjah ialah bilik- bilik disekolah dimana sekumpulan murid atau pelajar mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Untuk konsep yang lebih luas, bilik darjah tidak semata- mata merupakan ruang untuk proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi mencakupi pelajar- pelajar dan guru yang belajar dan mengajar dan berinteraksi antara satu sama lain didalamnya.

JENIS AKTIVITI P&P

Terdapat tiga jenis aktiviti p&p dalam bilik darjah:
  • Individu
  • Kumpulan
  • Kelas

INDIVIDU

Konsep aktiviti secara individu ialah segala aktiviti dan pemberian bahan kepada murid mengikut tahap kebolehan dan kemampuan mereka. Tugasan yang perlu dibuat oleh mereka adalah mengikut aras yang boleh dicapai oleh fikiran mereka. Dalam aktiviti jenis ini, murid bertanggungjawab akan pembelajarannya sendiri. Guru hanyalah sebagai pembimbing dan penyokong kepada individu tersebut. Dengan melakukan tugasan secara individu,murid akan belajar untuk berusaha sendiri meningkatkan keupayaan mereka dalam pembelajaran.  Sesetengah pelajar lebih suka membuat kerja secara individu dan mereka lebih yakin dengan situasi tersebut. Guru hendaklah memantau setiap pelajar supaya mereka tidak tersasar daripada objektif pengajaran dan pembelajaran yang diajar.

KUMPULAN

Pendekatan kumpulan merupakan aktiviti dalam kumpulan yang dikelompokkan kebolehan yang sama antara murid atau berbeza. Pendekatan kumpulan ini bertujuan untuk menggalakkan penglibatan individu dalam kumpulan. Aktiviti kumpulan ini semestinya dapat memupuk sikap kerjasama antara murid. Selain itu, melalui aktiviti kumpulan, kita akan dapat mengadakan aktiviti pemulihan dalam kumpulan. Contohnya, murid yang cerdas membantu rakan mereka yang agak lemah dalam kumpulan berbanding rakan-rakan yang lain.

Seterusnya, melalui pembahagian murid secara berkumpulan juga akan dapat memudahkan guru memberi tumpuan dalam kumpulan yang sama kebolehan. Terdapat beberapa jenis dan bentuk kumpulan. Antaranya ialah kumpulan mengikut kebolehan. Yang kedua ialah kumpulan pelbagai kebolehan. Yang ketiga ialah kumpulan mengikut minat.

Dalam kumpulan semestinya akan ada banyak persoalan yang diperbincangkan. Perbincangan mempunyai pelbagai teknik. Teknik perbincangan didefinisikan sebagai satu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat tentang sesuatu tajuk. Ia bertujuan untuk melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas. Teknik perbincangan adalah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbualan dan ia dilakukan dikalangan pelajar dibawah penyeliaan dan kawalan seorang guru. Teknik ini melibatkan aktiviti perbincangan antara pelajar secara bekerjasama dalam mengeluarkan pandangan masing-masing mengenai sesuatu perkara atau topik yang diberi.

Semasa berada dalam kumpulan, murid guru mestilah menguruskan aktiviti kumpulan dengan baik. Guru juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti secara berkumpulan bagi mengembangkan daya intelek dan bakat murid-murid. Misalnya bermesyuarat, forum, seminar, bengkel, bahas dan debat. Perbincangan seumpama ini  akan memberi peluang dan ruang bagi pelajar untuk bercakap terutama dalam aktiviti separa formal. Latihan sebegini bukan sahaja sekadar mempertajamkan minda malah dapat melatih kepetahan pelajar untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat.

Peranan guru juga akan berubah-ubah kerana aktiviti ini boleh dikendalikan oleh murid-murid sendiri. Teknik perbincangan boleh dijalankan mengikut langkah-langkah seperti guru menarik perhatian murid kepada tajuk perbincangan yang akan dijalankan. Selepas itu,  guru membahagikan murid kepada beberapa kumpulan dan kemudian memilih seorang ketua yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memastikan semua aspek perbincangan dapat dijalankan dan dicapai. Kemudian guru menugaskan setiap kumpulan mendapatkan maklumat dengan cara berbincang dengan ahli-ahli kumpulan.

Ketika perbincangan dilakukan guru harus bergerak dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain, menegaskan perkara-perkara yang perlu dibincangkan dan mengarahkan perbincangan menghala kearah perkara yang betul. Setelah tamat perbincangan guru boleh meminta laporan daripada setiap kumpulan. Hasil perbincangan boleh dicatatkan dipapan tulis mengikut mana-mana yang penting. Setelah berbincang, guru bolehlah menjalankan pelbagai aktiviti seni visual yang lain.

Bilangan yang paling sesuai dalam perbincangan kumpulan adalah empat hingga lima orang pelajar. Perbincangan ini diketuai oleh pelajar terpilih dengan bimbingan seorang guru. Selain daripada mempromosi kemahiran pemikiran bertahap tinggi, perbincangan kumpulan merangkumi perkembangan kemahiran komunikasi, kepemimpinan, perbahasan dan kompromi. Pelajar-pelajar yang terlibat dalam perbincangan boleh tersesat secara mudah. Organisasi yang teliti boleh membantu melicinkan proses perbincangan.

Terdapat sekurang-kurangnya empat perkara yang mana guru boleh lakukan bagi menjamin keberkesanan perbincangan kumpulan kecil iaitu  guru harus memantau aktiviti secara teliti dengan meronda dalam bilik bagi memastikan setiap kumpulan fokus kepada objektif perbincangan.Selain itu, guru harus memastikan pelajar-pelajar mempunyai pengetahuan asas untuk menyumbang kepada perbincangan tersebut. Oleh demikian perbincangan kumpulan harus mengikuti satu pengajaran yang fokus kepada isi kandungan dan yang penting adalah berdasarkan topik-topik yang pernah diajar. 

Guru juga harus merancang perbincangan secara berkumpulan dalam jangka masa yang pendek setelah murid-murid diberi arahan yang tepat. Pada penghabisan aktiviti kumpulan kecil, setiap kumpulan harus melaporkan hasil kepada kelas. Ini boleh dijalankan melalui laporan bertulis atau wakil dari kumpulan memberi laporan secara lisan. Perbincangan terbuka dan perbincangan terbimbing ialah perbincangan yang di jalankan mungkin mengenai sesuatu persoalan yang terbuka di mana pelajar bebas mengutarakan idea dan pendapat masing-masing tentang sesuatu topik.

Teknik sumbangsaran adalah merupakan contoh perbincangan terbuka di mana murid meneroka idea-idea untuk menyelesaikan masalah atau isu secara bebas. Contohnya, perbincangan terbuka dijalankan untuk merancang sesuatu projek. Sesuatu perbincangan itu mungkin juga dijalankan dengan tujuan untuk menumpukan perhatian pelajar kepada satu kesimpulan yang telah ditetapkan. Sesi perbincangan dari awal hingga akhir dirancang dengan rapi oleh guru atau pengerusi kumpulan melalui soalan-soalan atau celahan supaya mencapai ke satu persetujuan. Jenis ini dinamakan perbincangan terbimbing.

Contoh kaedah pengajaran melalui perbincangan memperuntukkan beberapa organisasi yang perlu ada dalam perbincangan secara kumpulan. Organisasi pertama yang perlu ada ialah kumpulan ’Buzz’. Perkataan ‘buzz’ menggambarkan bunyi lebah atau kumbang dalam sesuatu taman bunga. Murid-murid satu kelas dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Semua kumpulan akan membincangkan satu masalah yang sama tetapi dari aspek-aspek yang berlainan.

Contohnya tajuk perbincangan ialah, “Bagaimanakah kita akan dapat menyelesaikan masalah kekurangan makanan?” Kumpulan yang berlainan akan membincangkan alternatif yang berbeza seperti menteknologikan sektor pertanian, mengawal kadar pertumbuhan penduduk, memajukan industri pengeluaran makanan dan membuka tanah-tanah baru dengan menebang hutan-hutan. Kumpulan yang berbeza akan mencapai kesimpulan yang berlainan. Setiap kumpulan akan menghasilkan kesimpulan masing-masing. Selepas itu wakil setiap kumpulan akan membentangkan hasil perbincangan mereka.

Organisasi lain yang perlu ada dalam perbincangan kumpulan ialah balang ikan menggambarkan pelajar menonton  telatah sekumpulan ikan yang berada dalam sebuah balang. Satu kumpulan kecil membincangkan satu masalah antara mereka manakala pelajar lain bertindak sebagai pemerhati. Selepas itu para pemerhati akan memberi komen dan pendapat mereka pula.

Sumbangsaran atau percambahan fikiran juga merupakan organisasi penting ketika perbincangan kumpulan diadakan. Satu kumpulan ditugaskan untuk menyelesaikan satu masalah. Setiap ahli akan mengemukakan idea masing-masing tanpa dikomen atau dibahaskan. Ini menggalakkan respons yang cepat dan penyertaan yang aktif. Semua idea dicatatkan di atas papan tulis. Selepas itu barulah dibincangkan satu persatu untuk mencari jalan penyelesaian. Ahli-ahli satu kumpulan cuba mencapai persetujuan bersama dalam mencapai satu keputusan. Perbincangan dijalankan sehinggalah setiap keputusan dicapai  dengan baik.

Terdapat beberapa panduan untuk mengendalikan sesi pengajaran secara kumpulan. Antaranya ialah dengan mewujudkan iklim kumpulan yang sesuai. Sesuatu iklim kumpulan yang baik dapat diwujudkan dengan memastikan perkara-perkara seperti hormat-menghormati di kalangan ahli, menghargai pendapat orang lain, mengelakkan apa juga bentuk gangguan dan sindiran, pengerusi kumpulan tidak memaksa ahli menerima cadangan atau pendapatnya, setiap ahli kumpulan mengambil bahagian. Penyediaan bahan perancangan juga merupakan aspek penting dalam mengendalikan sesi pengajaran secara perbincangan.

Dalam menggunakan kaedah kumpulan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran, sesi perbincangan yang dijalankan mestilah berkaitan dengan tajuk. Bahan perbincangan boleh diperolehi daripada sumber-sumber berikut rencana sains yang menarik daripada akhbar, rakaman rancangan radio dan TV mengenai gambar, carta, slaid dan transparensi, isu menarik yang diutarakan oleh guru atau pelajar sendiri. Penilaian kumpulan merupakan panduan penting untuk menjayakan kaedah pengajaran secara perbincangan.

Selepas setiap aktiviti perbincangan dijalankan, guru hendaklah membuat penelitian ke atas beberapa perkara penting seperti matlamat yang ingin dicapai, penglibatan pelajar dalam mengambil bahagian, perbincangan topik yang menarik dan kesimpulan yang akan diperolehi. Pengajaran secara perbincangan yang dijalankan mesti mengikut langkah dan strategi yang dirancang bagi membolehkan hasil pengajaran dan pembelajaran dapat diperolehi dengan maksimum dan berkesan.

KELAS

Kelas merupakan tempat untuk kelompok murid yang mengikuti sesuatu pelajaran tertentu. Ruang kelas pula bermaksud suatu ruangan dalam bangunan sekolah, yang berfungsi sebagai tempat untuk kegiatan tatap muka dalam proses kegiatan belajar mengajar. Kelas terdiri dari meja guru, meja murid, kerusi murid, papan tulis, almari atau rak buku, papan kenyataan serta lain-lain.

Corak pengurusan bilik darjah yang berkesan. Murid-murid mempunyai perbezaan dari segi matlamat, kebolehan dan personaliti. guru harus mengambil kira faktor-faktor tersebut untuk membentuk satu persekitaran dan pengurusan bilik darjah yang berkesan. Susunan kelas perlu diberi perhatian. contoh murid lemah diletakkan bersama murid pandai tetapi jika silap perancangan murid yang pandai akan membuli murid yang lemah.

Banyak perkara yang berlaku di luar perancangan. contoh LCD rosak, gangguan bising oleh pemotong rumput dan sebagainya.. Oleh itu, perancangan guru perlu mantap dengan mengambil kira pelbagai sudut. Persekitaran pembelajaran yang kondusif perlu mengambil kira elemen-elemen seperti fizikal, emosi dan sosial.

Ciri-ciri bilik darjah yang berkesan antaranya ialah suasana demokratik di dalam bilik darjah. Guru perlu mengambil tanggungjawab sebagai pendidik dan fasilitator. Seterusnya, menimbulkan persekitaran saling mempercayai dan saling menghormati. Guru juga mesti percaya setiap murid mempunyai kebolehan untuk mencapai kejayaan. Disamping itu, guru patut menunjukkan contoh dan teladan yang baik untuk diikuti.

Guru juga mestilah menjadikan bilik darjah sebagai tempat yang seronok dan selamat untuk murid-murid belajar. Guru juga mestilah menunjukkan rasa kecintaan dan semangat yang tinggi untuk mengajar dan mendidik murid-murid. Pembelajaran berasaskan kelas mempunyai semangat kerjasama dan cintakan kelas. Terdapat tiga jenis interaksi yang terdapat dalam kelas iaitu Interaksi Sehala, Interaksi Dua Hala, dan Interaksi Pelbagai Hala. Aktiviti secara kelas memberikan keselesaan kepada guru untuk mengajar pelbagai jenis aktiviti yang dirasakan mampu diterima oleh semua pelajarnya.

0 comment... add one now