Implikasi Dapatan Kajian Kepada Proses Pengajaran Dan Pembelajaran



Hasil daripada dapatan kajian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, beberapa implikasi telah dikenal pasti. Implikasi-implikasi ini dapat dibahagikan kepada dua aspek, iaitu implikasi berdasarkan teori perkembangan fizikal kanak-kanak dan implikasi terhadap teori perkembangan kognitif kanak-kanak.

Peringkat awal kanak-kanak biasanya bermula sekitar umur 6 hingga 7 tahun. Pada peringkat ini, kadar pertumbuhan fizikal kanak-kanak perlahan jika berbanding dengan pertumbuhan pada tahun pertama kanak-kanak tersebut. Hasil kajian menunjukkan kadar perkembangan kanak-kanak perempuan pada peringkat ini lebih cepat daripada perkembangan kanak-kanak lelaki. Bagi implikasi terhadap perkembangan fizikal kanak-kanak pada peringkat awal sekitar umur 6 hingga 7 tahun ini, guru-guru dinasihatkan agar membantu kanak-kanak tetapi hanya setakat mana yang perlu. Bantuan yang berlebihan akan menyebabkan pergantungan kanak-kanak kepada ibu bapa atau guru dan menimbulkan perasaan kurang yakin untuk melakukan sesuatu dengan sendiri. Di samping itu, kanak-kanak pada tahap ini akan berkembang pada tahap berbeza. Kanak-kanak juga agar aktif pada peringkat ini. Maka, guru harus menyediakan aktiviti bermain seperti permainan bola dan berlari dan mengambil kira perkembangan otot, khususnya otot-otot kecil yang belum sempurna.

Manakala, implikasi terhadap teori perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat awal ialah mereka harus diberikan peluang untuk melakukan ‘hands-on’ terhadap sesuatu kemahiran. Jika mereka diberikan peluang ini, keyakinan mereka akan dapat dipertingkatkan dan mereka juga mampu untuk berdikari dengan kemahiran yang mereka kuasai. Seterusnya, guru harus menyediakan pengalaman pembelajaran yang pelbagai. Selain dalam lingkungan bilik darjah atau taska, guru perlu membawa murid-murid untuk merasa pengalaman di luar bilik darjah. Hasil dapatan kajian, kanak-kanak pada peringkat ini mudah untuk mengingati setiap peristiwa yang mereka alami dan lalui, jika pengenalan flora dan fauna diberikan kepada mereka, ingatan dan fikiran mereka akan kaya dengan pengalaman yang diberikan oleh guru yang terbabit.

Hasil dapatan kajian perkembangan fizikal kanak-kanak dalam lingkungan 8 hingga 10 tahun pula berbeza kerana pada peringkat ini, kadar pertumbuhan kanak-kanak stabil dan tidak pesat. Pada umumnya kanak-kanak berupaya untuk fokus kepada aktiviti yang diberikan kepada mereka. Bagi implikasi terhadap perkembangan fizikal kanak-kanak dalam lingkungan 8 hingga 10 tahun iaitu guru harus mengajar kanak-kanak bermain alat muzik seperti piano atau biola dan sebagainya. Kanak-kanak lelaki pula lebih cenderung ke arah permainan lasak seperti permainan di padang. Selain itu, aktiviti senaman dan pemakanan yang sesuai perlu diterapkan agar saiz, berat badan dan rakan sebaya tidak akan menimbulkan sebarang masalah sosial dan penyesuaian.

Manakala, implikasi terhadap teori perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat kedua pula ialah kanak-kanak harus diajar dengan menggunakan bahan yang konkrit terutama untuk belajar kemahiran baru. Bahan-bahan konkrit ini mestilah mempunyai ciri-ciri yang boleh menarik perhatian mereka. Sebagai contoh, model-model tiga dimensi 3D seperti haiwan dan tumbuhan boleh membantu kanak-kanak mengaitkannya dengan pengetahuan sedia ada mereka. Implikasi lain terhadap proses ini ialah kanak-kanak harus diberi peluang untuk memanipulasi dan menguji objek-objek yang diajar. Sebagai contoh, satu eksperimen telah dijalankan dalam subjek sains seperti mengkaji keperluan cahaya matahari untuk proses fotosintesis tumbuhan.

Peringkat awal remaja ialah 11 hingga 12 tahun, hasil dapatan kajian menunjukkan kadar pertumbuhan dan perkembangan mereka adalah cepat dan pesat, sama seperti kadar perkembangan semasa bayi. Perubahan fizikal seperti ketinggian, saiz dan bentuk badan mula ke arah dewasa tetapi remaja perempuan cepat mencapai akil baligh berbanding dengan remaja lelaki. Akil baligh menandakan kematangan daripada segi seksual. Maka implikasi terhadap perkembangan fizikal iaitu guru  digalakkan menyediakan kursus, ceramah tentang aktiviti seksual dan sistem pembiakan agar remaja mengetahui aspek-aspek perubahan fisiologi yang berlaku dalam diri mereka, serta guru juga perlu menyediakan ruang pertanyaan untuk mereka tentang perubahan yang sedang berlaku dalam diri mereka agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat.

Seterusnya, guru juga boleh menyediakan latihan untuk membantu remaja membina daya tenaga dan daya tahan. Oleh sebab remaja pada peringkat ini lebih sensitif terhadap perubahan fizikal dan bentuk badan, adalah wajar mereka juga diberi kesedaran tentang gaya hidup sihat terutama dari segi pemakanan, senaman dan mengelakkan aktiviti-aktiviti yang negatif seperti merokok dan mengambil dadah.

Manakala, implikasi terhadap teori perkembangan kognitif pada peringkat awal remaja ialah remaja boleh menggunakan bahan konkrit untuk mengilustrasikan konsep yang lebih kompleks. Sebagai contoh, penggunaan bahan 3D, model, carta, rajah, pengalaman pelajar sendiri sebagai permulaan kepada pengajaran yang lebih kompleks.

Selain itu, guru harus memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka alternatif penyelesaian dan membuat hipotesis. Dengan pendedahan yang diberikan pada peringkat sebelum ini, guru perlu memberi lebih banyak peluang kepada pelajar menyelesaikan masalah mereka dengan sendiri. Guru juga perlu menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Semasa pengajaran berlaku di dalam kelas, guru boleh menyuruh pelajar untuk meneroka dan mengkaji sendiri konsep yang luas dan tidak hanya terikat dengan fakta-fakta. Setelah itu, guru harus menerima pendapat yang diberikan oleh pelajar serta guru perlu membimbing pelajar untuk belajar menerima pendapat orang lain.

Kesimpulannya, perkembangan kanak-kanak sangat penting untuk dipelajari dan di terokai oleh setiap guru dan bakal guru agar mampu menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan mudah difahami.

0 comment... add one now